Anuar Zain tukar lokasi konsert ke Shah Alam



DEMI mengelak kesulitan penganjuran, pihak Anuar Zain Network Sdn Bhd dan penganjur bersekutu Universal Music Malaysia akur dengan dugaan yang menimpa penyanyi kesayangan ramai, Anuar Zain sehingga terpaksa mengubah lokasi konsertnya di saat akhir.

Konsert bertema “Anuar Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta, Sanubari” itu pada mulanya dijadualkan berlangsung di Stadium Putra Bukit Jalil, Kuala Lumpur pada 16 Februari ini tetapi kini bertukar ke venue baru di Stadium Malawati Shah Alam, Selangor.

Menurut Anuar, keputusan itu diambil untuk mengelakkan berlaku kesulitan dari aspek pengurusan penganjuran kerana pihaknya hanya diberikan tempoh beberapa jam sahaja untuk mengosongkan dewan selepas tamat konsert sekiranya pihknya bersetuju menggunakan Stadium Putra Bukit Jalil sebagai “venue” pilihan.

“Saya dimaklumkan satu acara besar akan diadakan di stadium tersebut sehari selepas konsert saya berlangsung. Jadi, pihak produksi dan pengurusan konsert serta saya sendiri sebulat suara bersetuju untuk menukar lokasi,” ujar penyanyi tampan itu ketika dihubungi melalui telefon.

Jelas pelantun lagu popular "Lelaki Ini", keputusan menukar lokasi konsert diambil kira-kira seminggu lalu di mana pihak pengurusan dan beliau sendiri telah mengadakan sidang media untuk mengumumkan perkembangan terbaru itu.

BACA: Siapakah wanita idaman Anuar Zain?
BACA: Konsert solo Anuar Zain akan datang


Menurutnya, Stadium Malawati turut mempunyai keunikannya yang tersendiri termasuk mampu menghasilkan akustik yang mantap dan reka bentuk yang bersesuaian dengan set pentas konsert itu nanti.

Walaupun pertukaran lokasi bermakna sedikit ubahsuai set pentas perlu dilakukan, Anuar yakin pihak pengurusannya dan penganjur mampu mencapai kualiti persembahan yang sempurna.

“Mengambil kira kesesuaian ini, kedudukan saya dengan peminat yang hadir akan lebih dekat dan ini sudah pasti mewujudkan suasana intim,” kata Anuar.

Mengulas mengenai keistimewaan konsert sulungnya itu, beliau berjanji akan menyajikan para peminat dengan alunan muzik dan persembahan visual yang memukau.

Lebih istimewa, pada malam itu penyanyi tersebut akan berkongsi dengan peminat setianya sebuah klip video lagu terbarunya berjudul, “Sempurnakan Aku” yang turut menampilkan pelakon terkenal Nora Danish buat julung kalinya.

Amri Ginang selaku jurugambar telah menyediakan visual menarik untuk tatapan peminat Anuar malam itu. Antara montaj menarik yang akan dipaparkan telah dirakamkan di luar Kuala Lumpur dan akan diolah oleh juruteknik penata cahaya tersohor, Steve Ho untuk konsert tersebut. 

Sering mengagumi kehebatan pengarah muzik dan komposer Mac Chew, tidak hairanlah mengapa penyanyi tersebut yang dikenali sebagai perfectionist menggunakan khidmat Mac Chew untuk konsert ini.

Digandingkan dengan 20 pemuzik berpengalaman dan beberapa penyanyi latar kegemarannya, Anuar bakal mempersembahkan lebih 15 buah lagu untuk peminatnya pada malam itu.

“Konsert ini mengimbau sejarah perjalanan seni saya. Malam itu, bukan saya yang menjadi bintang malah peminat-peminat yang setia bersama-sama saya sepanjang kerjaya saya sebagai anak seni adalah bintang hati yang akan saya raikan.”

Mohon maaf

Anuar turut memohon maaf bagi pihak pengurusan konsert, Anuar Zain Network dan Universal Music Malaysia atas kesulitan yang berlaku akibat perubahan lokasi konsert.

Beliau juga menjelaskan pihak pengurusan dan warga kerja TicketCharge berjanji akan menyusun semula tempat duduk pemegang tiket mengikut susun atur terkini lokasi. Pihak TicketCharge akan menghubungi semua pemilik tiket yang telah membuat pembelian sebelum ini bagi tujuan tersebut.

Pertukaran tiket baru boleh dilakukan di pejabat urusan TicketCharge mulai hari ini. Sementara itu, bagi para peminat yang ingin membeli tiket konsert “Anuar Zain Tiga Dekad Muzik, Cinta, Sanubari”, tiket boleh didapati di kaunter jualan TicketCharge Stadium Malawati.

Editor’s note:Yahoo Philippines encourages responsible comments that add dimension to the discussion. No bashing or hate speech, please. You can express your opinion without slamming others or making derogatory remarks.