Rancangan sitkom tempatan yang masih diingati

Farizan Zainal
Rancangan sitkom tempatan yang masih diingati

10 Jan – Sekitar tahun 90an ramai yang dibesarkan dengan rancangan-rancangan sitkom tempatan yang masih lagi diingati sehingga kini.

Mana mungkin kita boleh lupa dengan lawak bersahaja yang mereka lakonkan tetapi penuh dengan mesej dan pengajaran.

Rancangan-rancangan sitkom ini sentiasa mencuit hati penonton dan ramai yang tidak akan ketinggalan untuk melekat di hadapan televisyen apabila tiba waktu siarannya.

Jom imbas kembali rancangan-rancangan sitkom tempatan yang masih lagi di ingati sehingga hari ini!

Pi Mai Pi Mai Tang Tu
Watak-watak seperti Pak Uda, Mak Ngah, Ana, Lucy, Budin, Mat Deris, Mat Over dan Ravi begitu popular pada zaman kegemilangan sitkom Pi Mai Pi Mai Tang Tu. Rancangan sitkom arahan Dr. Hatta Azad Khan. ini mengisahkan mengenai ragam seharian penduduk di flat Seri Wangi. Sitkom ini mula menemui penonton di kaca televisyen sekitar tahun 1987 sebelum kemudiannya berkubur selepas kemunculan program-program baru yang berlumba-lumba mencuri perhatian penonton ketika itu.

Sitkom ini mengumpulkan pelakon dari pelbagai kaum antaranya Melayu, Cina dan India yang menunjukkan semangat kejiranan antara kaum di Malaysia. Impak sitkom yang sering ditayangkan di TV3 pada ketika itu cukup hebat sehinggakan ia turut direalisasikan dalam bentuk pementasan teater muzikal sekitar tahun 2006.

Sitkom 2+1
Ingat lagi sitkom watak lelaki lembut bersama Sam? Tak pun anda ingat lagi tak dialog "This is my card..my nam is Sam!" Pasti anda ingat lagi kan. Siri komedi "2+1" berlatarbelakangkan sebuah unit kondominium yang didiami Sarah dan Mac yang sering menjadi tumpuan jiran mereka iaitu Sam, Ram, Zurina, dan Datuk Jamil yang sering bertukar cerita dan bergurau senda. Rancangan yang popular sekitar 90an ini juga di merupakan terbitan TV3.

Sitkom "2+1" ini dijayakan oleh pelakon hebat antaranya Imuda, Raja Ema, Ahmad Busu, Jalil Hamid, Louisa Chong, Susan Lankester, Jaafar Onn, Zeila Jalil. Memang muda sangat mereka ketika zaman itu.

Senario
Rancangan sitkom ini tidak perlu diperkatakan lagi. Kumpulan Senario yang ditubuhkan pada tahun 1996 hasil gabungan 7 peserta rancangan Sinaran Pasport Kegemilangan. Kumpulan ini kemudiannya diberikan kepercayaan untuk menjayakan program TV sendiri yang juga bernama "Senario" pada Jun 1996 dengan empat episod pengenalan. Ternyata sitkom tersebut mendapat sambutan. Sitkom ini meneruskan siarannya sehingga tahun 2000.

Selain sitkom, kumpulan ini juga telah merakam lima buah album dan filem mereka sendiri. Seiring dengan usia kumpulan ini, ahli kumpulan mereka juga sering bertukar ganti. Namun yang kekal sehingga kini hanyalah Azlee, Wahid dan Lan Pet Pet.

Spanar jaya
Mesti anda ingat lagi sitkom yang mengisahkan mekanik kereta lakonan Ahmad Idham dan Opie Zami yang disiarkan di NTV7. Sitkom "Spanar Jaya" memaparkan situasi di sebuah bengkel membaiki motokar dengan memaparkan pelbagai isu semasa. Sitcom ini juga membariskan pelakon Rambo Chin, Zaibo, Wardina, Zaidi Rock sebagai pelakon utama bersama banyak pelakon undangan yang diundang dalam setiap siri. "Spanar Jaya" menampilkan watak, Pak Joyo seorang peniaga kecil yang bercita-cita mencari kejayaan dalam dunia perniagaan. Iskandar lakonan Ahmad Idham pula seorang pemuda lulusan dari universiti luar negara dalam bidang kejuruteraan dan berminat mengenai permotoran lalu memilih untuk berkerja di sebuah bengkel.

Aksi komedi Opie Zamie, pasti sangat digemari penonton dan masalah percintaan Ahmad Idham bersama Wardina sentiasa dinanti-nanti oleh penonton apabila dia lebih memilih kereta daripada cinta.

Jangan ketawa
Siapa yang menonton sitkom "Jangan Ketawa" ini pasti akan mengabaikan tajuknya yang menyuruh penonton agar tidak ketawa semasa menontonnya. Rancangan ini ditayangkan di TV3 sekitar tahun 90an. Sitkom ini merupakan arahan pelakon Louisa Chong dan Harith Iskandar yang juga merupakan peneraju utama sitkom ini. Telatah mengenai isu masa kini sangat dinantikan oleh penonton apabila tiba waktu siarannya. Jika anda ingat lagi gandingan pelakon Dee dan Moon memang hangat di perkatakan ketika itu.

Antara pelakon yang menjayakan sitkom ini antaranya Dee, Moon, Rambo Chin, Harith Iskandar, Sri Shan, Ghanie, Rama, Robin, Robert dan Danny. Memang pecah perut dibuatnya.